Monday, 3 July 2017

WAJARKAH JIKA SABAH DAN SARAWAK KELUAR DARI MALAYSIA??


Aku sebenarnya malas nak menyampuk dalam bab Sabah dan Sarawak yang keluar dari Malaysia ini, walaupun sebenarnya Abang Jo hanya menghantar peguamnya sahaja untuk mengkaji apakah lagi tuntutan mereka dahulu kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia.

Namun untuk menubuhkan negara sendiri bukanlah semudah seperti bercakap dihadapan audiens, lebih-lebih lagi apabila segenap hal perlu difikirkan. Bermula dari ekonomi dan sosial setiap cabang kecilnya perlu diambil agar rakyat mendapat hak yang seharusnya mereka dapat. Sudah tentu mereka mahukan yang lebih baik berbanding sewaktu berada dibawah kerajaan Malaysia dahulu.

Bercakap soal hal ehwal pertahanan sudah tentu Sabah dan Sarawak perlu mempunyai pasukan pertahanan sendiri. Manakala setiap kem askar Rejimen Askar Melayu Diraja pula semuanya akan dipindahkan kembali ke Malaya. Ini bermakna tiada lagi aspek keselematan melalui ketenteraan di kedua negara baharu tersebut, maka lebih mudah ia ditembusi oleh musuh.

Dalam pada itu bagaimana pula dengan nasib rakyat sendiri yang merantau ke Malaya. Sanggupkah melihat mereka menjadi orang asing di bekas bumi lamanya dahulu? Hinggakan hendak masuk ke Malaya samalah seperti kami kena bawa pasport jika hendak ke Narawthiwat. Padahal wilayah Narathiwat itu adalah sebahagian daripada Kelantan sebelum Perjanjian Bangkok 1909.

Jika sekadar menuntut hak untuk kebaikan rakyat pada aku kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan juga pernah membuat perkara yang sama dahulu. Namun jika hendak bermandiri seperti mana Brunei dan Singapura seeloknya janganlah terburu-buru sangat sepertimana orang Britain yang mahu keluar EU tetapi akhirnya mahu buat 'U Turn'.