Friday, 10 February 2017

MEGADETH LIVE IN MALAYSIA

Kumpulan heavy metal berpengaruh dari Amerika Syarikat, Megadeth, bakal mengadakan persembahan sulung di sini, pada 4 Mei depan. Konsert Megadeth Live in Malaysia anjuran IME Malaysia itu dijadualkan berlangsung di Stadium Negara, jam 8 malam.

Tarikh persembahan mereka di negara ini diumumkan selepas kumpulan itu terlebih dulu mengesahkan kemunculan di Manila, Filipina, pada 29 April dan di Singapura, 2 Mei. Pada 7 Mei pula, siri jelajah mereka di Asia diteruskan di Jakarta, Indonesia.

 "Kuala Lumpur antara kota yang kami idamkan untuk mengadakan persembahan apabila menjelajah Asia," kata ketua kumpulan itu, Dave Mustaine, menerusi kenyataan dikirimkan.

 Siri jelajah berkenaan diadakan bersempena kemunculan album terkini mereka, Dystopia. Album itu menerima ulasan positif daripada pengkritik dan peminat, malah dianggap antara karya terbaik daripada kumpulan berkenaan. 

Dystopia turut mendapat pencalonan dalam kategori Persembahan Lagu Metal Terbaik pada Anugerah Grammy ke-59, yang bakal berlangsung Isnin ini (waktu Malaysia). Megadeth yang berasal dari Los Angeles, California, pernah dijadualkan membuat kemunculan di ibu kota kira-kira 16 tahun lalu, namun peminat mereka kehampaan apabila kumpulan terbabit gagal mendapat kebenaran berbuat demikian.

 Selain Mustaine yang juga vokalis dan pemain gitar utama, Megadeth turut dianggotai David Ellefson (bes), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram). Sepanjang tiga dekad berada di dunia muzik, Megadeth menjual lebih 50 juta album di seluruh dunia, menerima pelbagai pengiktirafan termasuk 12 pencalonan Grammy dan dianugerahkan platinum untuk lima album berturut-turut. 

Tiket menyaksikan Megadeth Live in Malaysia dijual mulai hari ini pada harga RM428 (Deth Pitt Zone, berdiri bebas), RM388 (VIP, tempat duduk bernombor), RM358 (Rock Zone, berdiri bebas), RM288 (CAT1, tempat duduk bernombor) dan RM198 (CAT2, tempat duduk bebas ). Ia boleh didapati menerusi TicketCharge di www.ticketcharge.com.my atau dengan menghubungi talian hotline 03-92228811. 

Peminat juga boleh mendapatkan tiket di cawangan Speedy Video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di pusat beli-belah The Mines atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Pulau Pinang).