Saturday, 18 February 2017

APA ITU RUU355?


BERIKUT merupakan fakta penting mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

1) Terhad kepada Umat Islam
Bidang kuasa Mahkamah Syariah Terhad hanya kepada orang yang menganut agama Islam. Oleh itu orang Bukan Islam tidak perlu bimbang dengan agenda politik yang cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.

2) Terhad kepada perkara-perkara dalam Butiran 1; Tidak termasuk perkara-perkara dalam senarai Persekutuan dan perkara-perkara lain dalam Senarai Negeri.
Butiran 1 juga menetapkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya kepada perkara-perkara yang terkandung dalam Butiran 1 sahaja yang meliputi perkara-perkara ber‎kaitan kekeluargaan, zakat, hibah, amanah, pewarisan, wakaf, masjid, surau dan sebagainya.

3) Tertakluk kepada had hukuman maksimum yang ditentukan Akta Persekutuan- Akta 355.
Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah keperluan Undang-Undang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan iaitu; bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah hendaklah ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
Justeru pindaan Akta 355 tidak boleh disifatkan sebagai 'unconstitutional' kerana ia adalah keperluan Perlembagaan.

4) Ada had hukuman
Akta 355 ini hanya menetapkan had hukuman maksima yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah sama seperti dalam isu kesalahan berkaitan kekeluargaan, zakat, hibah, amanah, pewarisan, wakaf, masjid, surau.

5) Autonomi lebih luas kepada Negeri untuk mencegah maksiat dan salah laku syariah.
Jika Pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen, ia tidak akan meningkatkan kadar hukuman secara automatik sebaliknya Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu meluluskan tahap hukuman bagi setiap kesalahan dalam Enakmen syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri tersebut terlebih dahulu.
Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat Dun.

6) Tidak memperuntukkan undang-undang hudud.
Akta ini tidak memperuntukkan sebarang undang-undang hudud.
Pilihan untuk menaikkan kadar hukuman kepada kadar yang lebih tinggi adalah terpulang kepada negeri-negeri untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang. Akta 355 tidak menyentuh bidang kuasa mahkamah sivil untuk membicarakan kes-kes jenayah di bawah kanun keseksaan.

7) Untuk perkasakan mahkamah syariah
Pindaan Akta 355 adalah bertujuan meningkatkan hukuman bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dalam pengawalan moral sekarang ini yang berhadapan dengan gejala sosial yang amat serius.
Sumber: Institusi Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).