Saturday, 3 December 2016

#PAU2016: GELOMBANG BIRU 2004 DI TERENGGANU KINI DI PAU 2016?


Pilihan Raya Umum ke 10 pada tahun 1999 pernah menjadi sejarah kepada jatuhnya pimpinan Barisan Nasional, di negeri Terengganu dan Kelantan pula masih mengekalkan pemerintahan PAS yang disandangnya setelah tiga penggal berturut-turut gagal dirampas UMNO melalui tiket Barisan Nasional.
                Rentetan daripada kekalahan BN di Terengganu. UMNO Terengganu yang diketuai oleh Datuk Seri Idris Jusoh bangkit untuk merampas kembali mandat pemerintahan negeri daripada PAS. Strategi dan perancangan yang diatur perlulah memberikan impak dan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri Terengganu. Akhirnya terbitlah ‘Gelombang Biru’ yang dihasilkan bagi menawan kembali pimpinan kerajaan negeri Terengganu daripada PAS.

                Alhamdulilah, berkat dan usaha yang dibawa oleh Datuk Seri Idris Jusoh ketika itu mendatangkan hasil apabila melihat perubahan mandat oleh rakyat negeri Terengganu seolah-olah hampir 360 darjah. Kejayaan ‘Gelombang Biru’ ini menyaksikan Barisan Nasional kembali menerajui pucuk pimpinan kerajaan negeri Terengganu pada 2004 hinggalah ke hari ini.

                Itulah model atau contoh yang terbaik apabila penulis cuba menggambarkan mengenai kebangkitan rakyat negeri Terengganu melalui slogan ‘Gelombang Biru’ yang pernah diterajui oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang kini menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

                Namun, Perhimpunan Agung Umno 2016 seolah-olah cuba mengingatkan kepada penulis akan kewujudan ‘Gelombang Biru’ di negeri kelahiran penulis pada suatu ketika dahulu. Namun, sejauh manakah keberkesanan ‘Gelombang Biru’ di PAU 2016 dengan ‘Gelombang Biru’ yang pernah menjadi malapetaka kepada PAS di Terengganu pada suatu ketika dahulu?

                Kita sedia maklum bahawa Perhimpunan Agung UMNO adalah upacara perhimpunan tahunan  besar-besaran bagi Parti orang Melayu yang terbesar di Malaysia. Seandainya amalan yang mampu merosakkan bangsa Melayu masih lagi diamalkan pada oleh segenap ahli pada hari ini. Malah apa gunanya sekiranya para pembahas berdegar-degar berbahas diatas pentas tetapi kita yang menjadi wakil rakyat pula hendak berjumpa setahun sekali belum tentu dapat dek sibuk dengan urusan parti katanya.

                Adakah para perwakilan yang berbahas pada PAU 2016 pada kali ini benar-benar membahaskan akan perihal orang Melayu sahaja tanpa menyentuh isu sensitiviti kaum lain? Sebenarnya saban tahun isu yang berkaitan sensitiviti kaum dipetik dan diucapkan oleh segelintir pembahas demi untuk mendapatkan sorakan dan tepukan gemuruh oleh segenap ahli dewan. Sedangkan pada setiap tahun peringatan selalu diberikan agar pembahas tidak melanggar peraturan pembahasan.


                Walaubagaimanapun, seandainya ada pembahas yang mengkritik dan mempertikaikan kepincangan pimpinan pada hari ini, itu sebenarnya perlu dilakukan lagipun pentas perbahasan merupakan pentas yang terbaik untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka tentang apa yang berlaku pada hari ini. Kalau tidak dari suara akar umbi, pilihan dari pihak manakah yang UMNO perlukan agar UMNO itu sendiri kembali ke landasan yang benar atau sanggup untuk melayani tuntutan yang dibuat oleh Ambiga dan Maria Chin melalui demonstrasi jalanan?

Dalam usaha untuk mengembalikan kejayaan PRU 11, UMNO perlu turun dan duduk semeja untuk berbincang dengan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan serta parti dari Sabah dan Sarawak yang bersama di bawah bendera Barisan Nasional. Lupakan sengketa dan buka buku baru demi survival dan keberlangsungan BN.

Isu RUU 355 yang disepakati bersama PAS perlulah diberi kefahaman secara berterusan agar perkara yang melibatkan hukum sayarak bagi orang Islam tidak lagi menjadi polemik dalam kem sendiri. cukuplah kita ketawa apabila melihat Pakatan Harapan yang masih berebut takhta Perdana Menteri seandainya mereka menang dalam PRU 14 akan datang.

Sebaiknya pimpinan sikap ‘humble’ perlu diteruskan oleh setiap pimpinan UMNO dalam supaya dilihat terus relevan bagi mengemudi parti komponennya dalam BN. Hal ini agar dapat lagi mereka memperkukuhkan solidariti dalam membawa ‘Gelombang Biru’ dalam PRU kali ini.

‘Gelombang Biru’ yang sedang menjadi bahan bualan pada PRU kali ini perlu diterjemahkan oleh setiap ahli sewaktu PRU kelak kerana semangat itu bukan sekadar ditonjol pada warna baju yang dipakai sahaja. Sebaliknya pada semangat dan keghairahan kita dalam perjuangan demi kembali mencapai 2/3 majoriti penguasaan di Dewan Rakyat, kerana itulah kunci kejayaan kepada 'Gelombang Biru' di negeri Terengganu sewaktu PRU 11 dahulu. Wallahualam...