Monday, 26 December 2016

ANINA SAADUDIN SAH DITENDANG DARI PPBM

Anina Saadudin menegaskan dirinya dipecat daripada jawatan ketua wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun dakwaan itu dipertikaikan Ketua Penerangan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Anina berkata, beliau sudah bercakap dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang mengesahkan keputusan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu.

“Mereka kata saya tidak disyorkan Majlis Presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi,” katanya merujuk nama sayap itu.

Katanya, beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 November lalu dan secara rasmi menjadikan beliau ketua Srikandi.

Kamarudin ketika dihubungi berkata, Anina tidak pernah dilantik dan angkat sumpah beliau merupakan “kesilapan teknikal”.

“Beliau dilantik secara rasmi sebagai ahli Majlis Tertinggi, bukan sebagai ketua Srikandi,” katanya kepada media.

Ujarnya , Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun baru dilantik sebagai ketua pemuda PPBM, Armada.

“Kami perlu tunggu pengerusi dan presiden kemukakan cadangan mereka, barulah kita akan buat pelantikan itu,” kata Kamaruddin.

Anina juga mempersoalkan dakwaan Mukhriz dan Shahruddin yang beliau sekadar “menaja” jawatan itu, manakala barisan pucuk pimpinan PPBM yang diumumkan pada bulan lalu adalah pelantikan rasmi.

“Parti ini baru berusia 3 bulan, tetapi dipimpin seorang presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman politik.

Anina menegaskan, sekalipun disingkirkan daripada jawatan itu, beliau akan meneruskan perjuangan “dengan atau tanpa kedudukan, dengan atau tanpa parti”.

Anina julung kali menjadi perhatian media apabila beliau mengkritik Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka pada mesyuarat Umno Bahagian Langkawi tahun lalu.