Sunday, 6 November 2016

APA ITU 'FULL PAYING PATIENT' DI HOSPITAL KERAJAAN ?

1. Pilot perkhidmatan FPP ni dah lama di lakukan di H. Selayang dan H. Putrajaya. Sekarang ianya berkembang ke beberapa hospital.

2. Ianya melibatkan pesakit luar, dalam dan rawatan harian. Pesakit akan bayar perkhidmatan ini dan mereka berhak memilih siapa doktor yg mahu merawat dan mendapatkan perkhidmatan kelas pertama.

3. Perkhidmatan ini seakan2 “Private Wing” di Hospital university.

4. Mereka akan diberi kaunter khas, bilik khas, ward khas dan staf khas. Tidak ganggu ward kelas pertama dan perkhidmatan sediakala.

Tujuan :

1. Menambah baik perkhidmatan kesihatan kerajaan. Sesiapa yg berkemampuan tapi tidak mahu pergi ke private hospital, boleh dapatkan di hospital kerajaan. Dari segi kos, besar kemungkinan sedikit rendah dari private.

2. Menjaga kebajikan para doktor dan golongan sokongan terutama pakar untuk menambah pendapatan. Sebahagian bayaran akan diberi kepada mereka dan sebahagian akan masuk ke dalam perolehan.

3. Nisbah Pakar Kerajaan dan Swasta kini adalah 1 : 2. Demi utk menjaga kebajikan pakar, dari pergi ke private, perkhidmatan FPP mungkin dapat membantu.

4. Pesakit juga boleh memilih pakar dari private hospital untuk merawat di fasiliti kerajaan, jika mahu mengurangkan kos. Ini setakat yg saya tahu, apa pun saya akan verify kelak. Dengan kata lain, kalau dahulu private hospital “pancing” pakar dari kerajaan, kini vice versa.

5. Saya tak pasti kenapa surat ini diviralkan. Namun besar kemungkinan oleh agen2 insurance. Apapun, dengan adanya FPP, boleh membantu industri insurans.

#Kesimpulan

1. Ianya tidak mengganggu perkhidmatan sedia ada kini. Rakyat masih boleh mendapat rawatan ubat, konsultasi, CT, MRI, blood investigation dll dengan pakage RM 1.

2. Jika rakyat yg berkemampuan boleh pergi ke private hospital untuk membuat rawatan, kenapa tidak ke hospital kerajaan?

3. Boleh baca selanjutnya di sini :
http://hselayang.moh.gov.my/ms/menu-awam/2013-10-10-09-33-28/2013-09-26-02-56-11.html

4. Apa yg ditulis adalah dari pemahaman sy melalui bacaan2 yg sy perolehi. Kenyataan bahawa kerajaan seolah2 “Menswastakan” perkhidmatan kesihatan adalah tidak benar.

5. Ianya telah lama di amalkan di hospital university, cuma KKM baru menuju kearah tersebut. Walaupun begitu saya percaya, pihak hospital/ KKM dapat mengelakkan “abuse” perkhidmatan FPP ini.

6. Jika saya perolehi info yg terkini, saya akan update dari semasa ke semasa.

Harap dapat mengurangkan panic rakan2 sekalian.

Sekian.
sumber :fb dr aznil hisham.



Kenyataan Akhbar KPK

Perkhidmatan FPP adalah singkatan bagi perkhidmatan Full Paying Patient (FPP) atau Pesakit Bayar Penuh yang telah dimulakan pada tahun 2007. Objektif utama perkhidmatan ini adalah sebagai pakej retensi bagi Pegawai Perubatan Pakar KKM dan untuk mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta, di mana kekurangan Pegawai Perubatan Pakar di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menjejaskan pemberian perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran di hospital KKM.

Adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan FPP ini bukanlah bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan. Perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada yang disubsidi kerajaan akan tetap diteruskan malah akan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh KKM. Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pesakit di mana caj ini adalah sangat rendah dan berpatutan kerana ianya masih terus disubsidi kerajaan.

Fokus perkhidmatan FPP ini adalah kepada rakyat yang berkemampuan untuk membayar kos penuh perubatan di mana mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital KKM yang terpilih. Ada juga pesakit yang di rujuk daripada hospital swasta ke hospital kerajaan kerana kelebihan kepakaran tertentu di hospital kerajaan, sedia untuk memilih skim FPP tanpa subsidi kerajaan. Antara kelebihan-kelebihan tertentu di bawah skim ini adalah seperti berikut:

Pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya;Pesakit mendapat kemudahan giliran untuk mendapat rawatan daripada Pegawai Perubatan Pakar; danPesakit dalam boleh menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.

Semua kemudahan yang akan diberi adalah bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan fasiliti sedia ada. Pesakit yang telah mendaftar sebagai pesakit FPP akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan Pegawai Perubatan Pakar yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan FPP di hospital-hospital kerajaan yang terpilih. Sebahagian hasil daripada pendapatan yang diperolehi oleh kerajaan melalui FPP akan diberikan kepada Pegawai Perubatan Pakar yang berdaftar di bawah perkhidmatan ini. Kadar caj bagi perkhidmatan perubatan untuk pesakit FPP adalah tertakluk kepada Akta Fi Pesakit Bayar Penuh (2007).

Kaedah pembayaran bil FPP boleh dibuat secara: tunai, kad kredit, kad debit atau draf bank. Surat jaminan (guarantee letter atau GL) syarikat swasta dan insuran perubatan yang mempunyai perjanjian persefahaman bersama Bahagian Kewangan KKM bagi perkhidmatan FPP juga boleh digunapakai untuk pembiayaan kos rawatan.

KKM sentiasa komited untuk terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dan yakin bahawa Pegawai Perubatan Pakar di KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan perkhidmatan FPP ini tidak menjejaskan pemberian perkhidmatan kepada pesakit awam yang lain. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan motivasi dan minat Pegawai Perubatan Pakar di KKM untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang mereka di fasiliti kesihatan KKM.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 Oktober 2016