Thursday, 1 October 2015

KEMENANGAN GERAKAN MAHASISWA “PRO ESTABLISHMENT” BUKAN KEMENANGAN UNTUK DIJUAL.

Barisan calon Penggerak Mahasiswa sesi 15/16
Gelombang baru arena politik mahasiswa di pihak pro establishment.

Setelah bertahun-tahun mencuba untuk menawan kerusi Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) akhirnya menjadi kenyataan apabila Universiti Malaya(UM),Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Universiti Putra Malaysia(UPM) berjaya ditawan oleh kumpulan pro establishment selepas bertahun-tahun kerusi MPP dipegang oleh kumpulan Anti Establishment.

Menariknya mengenai  kemenangan ini merupakan satu gelombang baru dalam arena politik mahasiswa selepas bertahun-tahun berusaha untuk mendapatkan mandat  pimpinan daripada mahasiswa. Hal ini kerana  real fight  politik di kampus hanya dirasai dan dialami oleh beberapa kampus sahaja di negara ini khususnya Universiti Awam di kawasan Lembah Klang.

Bercakap mengenai real fight di arena kampus hampir menyamai seperti arena politik luar, yang membezakan keduanya adalah manifesto, golongan sasaran pengundi dan cara berkempen. Namun, isu-isu yang dimainkan hanyalah isu dalaman sahaja yakni isu di kampus sahaja demi membela hak dan kebajikan mahsiswa sahaja.

Memperjuangkan isu bas yang beroperasi tidak mengikut jadual, kekurangan bekalan air di kolej-kolej kediaman, masalah jalur lebar internet yang tidak berkesudahan itulah antara isu yang selalu diperjuangkan oleh MPP. Malah, paling menjadi tumpuan apabila isu kenaikan yuran pengajian oleh pihak pentadbiran tanpa sebab yang konkrit menjadi isu utama yang sering dibawa oleh setiap anggota MPP yang membezakan adalah komitmen mereka dalam membawa suara mahasiswa kepada pihak atasan.

Perbezaan gerakan pro establishment dengan gerakan anti establishment ?

Maksud gerakan pro establishment menurut Profesor Caroll Quigley dari Universiti Georgetown adalah sekumpulan tenaga yang membentuk kesepakatan untuk membina pengaruh dan mencipta idealisme berdasarkan tradisi serta campuran idea konservatif. Ini bermakna mereka tidak tunduk kepada tekanan dan desakan daripada parti politik atau entiti tertentu. Menariknya mengenai gerakan ini adalah mereka tetap menggunakan kaedah rundingan dan diplomasi pihak tertentu dalam untuk mencapai kata sepakat apabila berlakunya sesuatu perkara yang memerlukan kepada rundingan meja bulat.

Berbeza pula dengan maksud yang diberikan kepada anti establishment kerana sifat yang digunakan oleh pendokong gerakan ini adalah menentang segala dasar dan polisi yang telah direka oleh pihak tertentu. Tindakan mereka ini mirip kepada “counterculture” yang melanda ngara-negara Barat pada sekitar tahun 1960-an dahulu. Hal ini kerana, mencuba untuk membawa kembali sesuatu perkara itu  seperti keadaan asalnya yang mana tidak wujud pelbagai dasar dan polisi yang digubal pada masa itu. Oleh itu,pendekatan mereka berat kepada konfrontasi yang digambarkan menerusi demonstrasi jalanan, merusuh, pemberontakan bersama pernyataan yang berani dan lantang.

Tujuannya adalah memastikan supaya apa yang disuarakan itu didengari dan diambil peduli oleh pihak berwajib, tidak kiralah sama ada di kampus mahupun di luar. Hal ini kerana, kejayaan sesebuah gerakan itu diukur melalui pencapaian yang dilakukan oleh mereka sepanjang keberadaannya di kampus. Perbezaan yang boleh digambarkan antara dua jenis gerakan ini adalah kaedah dan pendekatan yang digunakan dalam perilakunya untuk mengangkat suara mahasiswa.

Farhan Khairuddin dari Aspirasi UKM
Kemenangan gerakan pro establishment adalah kemenangan untuk mahasiswa.

Kejayaan gerakan pro establishment menawan kepimpinan MPP pada pemilihan ini dilihat kurang bermakna kepada mahasiswa apabila, muncul pelbagai pihak yang membuat dakwaan kemenangan gerakan mahasiswa pro establishment ini adalah menandakan peningkatan sokongan mahasiswa kepadanya.

Kalah tak disanjung, menang tak diangkat. Itulah ungkapan yang sebaiknya diberikan kepada perilaku sesetengah pihak yang mendakwa kemenangan ini adalah milik mereka juga. Apa justifikasi mereka membuat kenyataan sedemikian di dada akhbar sehinggakan menimbulkan pelbagai andaian bahawa adakah gerakan mahasiswa di kampus ini sebenarnya ditunjangi oleh ahli politik luar?

Pelbagai penafian telah dikeluarkan wakil mahasiswa mengenai tindakan ini, tetapi seperti “nasi sudah menjadi bubur”  kerana gerakan-gerakan mahasiswa di kampus dilihat seperti dibayangi oleh parti politik luar. Sama ada pro establishment dan anti establishment yang masing-masing menafikan mereka bayangan parti politik luar namun, hakikatnya gerakan mahasiswa masih lagi bergerak sendiri dan masih mengekalkan sifat “indiependent” demi memeperlihatkan mereka komited membawa suara mahasiswa dalam hak dan kebajikan mahasiswa.

Ahli politik luar seharusnya tahu bahawa, mereka masih lagi jauh untuk goyang kaki dan mendakwa kemenangan mahasiswa pro establishment pada pemilihan MPP ini adalah kemenangan kepada survival mereka.  Apakah, gelombang baru ini akan menjamin survival politik mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang?