Tuesday, 17 March 2015

#KAKUM2015: SPKUM TERUS MENJAGA HAK MAHASISWA UM, KEMANA HILANGNYA PMUM?



           Sekretariat Presiden Kolej Universiti Malaya adalah sebuah sekretariat yang menghimpunkan seluruh Presiden-presiden Kolej kediaman di Universiti Malaya. Objektif asalnya adalah untuk membawa suara dan menjaga kebajikan mahasiswa yang menetap di kolej kediaman UM. Idea untuk mendaftarkan sekretariat ini telah wujud ketika saudara Marwan Kahar Bin Baharuddin menjawat jawatan Presiden Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin atau lebih dikenali sebagai Kolej Kediaman Ke-9.

            Walaubagaimanapun, kini organisasi ini dilihat semakin kehadapan dan juga melakukan beberapa perkara yang memperlihatkan mereka ini seperti Majlis Perwakilan Pelajar. Antaranya, menyuarakan bantahan penganjuran Pidato Anwar Ibrahim 40 Tahun Dari Penjara ke Universiti, yang mana pengajurnya adalah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya sesi 13/14. Ini memperlihatkan bahawa SPKUM bukanlah sekadar menjaga kebajikan pelajar Kolej Kediaman sahaja malahan, turut menjaga kebajikan warga UM khususnya.

             Namun seperti yang kita dapat lihat, organisasi ini telah meletakannya di suatu tempat yang baharu melalui penganjuran KAKUM yang julung kalinya diadakan di kampus UM. KAKUM ini dengan jayanya dilangsungkan pada 11 Mac sehingga 15 Mac lepas dan dirasmikan pula oleh Naib Canselor UM pada 13 Mac 2015.

             Bercakap  mengenai pengisiannya, KAKUM ini dilihat seolah-olah meyaingi Festival Konvokesyen Universiti Malaya. Hal ini kerana, aktiviti-aktiviti yang diadakan seolah sama seperti berbalas pantun, bual bicara dengan ikon-ikon terkenal yang pernah menuntut di UM dahulu. Cuma hanya figura-figura politik sahaja yang tidak dipanggil pada KAKUM. 

             Ironinya, KAKUM juga telah mengadakan satu Persidangan Mahasiswa Kolej Kediaman di Bilik Court UM, yang mana pelbagai isu berbangkit seperti penambahan fasiliti di UM, isu merit, isu Malam Anugerah Kolej telah dibawa ke dalam perbincangan ini. Apakah SPKUM ingin mengambil alih kuasa PMUM? Adakah PMUM yang dipilih hanya pandai cakap kosong sahaja? Terpulanglah kepada pendapat  masing-masing.

             Namun untuk kali ini, walaupun dilihat sebagai satu Projek Mega yang baharu, harapnya penganjuran KAKUM di sesi akan datang diadakan dengan lebih meriah lagi untuk menarik sambutan daripada pelajar UM. Walaubagaimanapun, diharapkan SPKUM terus relevan untuk membawa UM lebih kehadapan dikala PMUM terus sibuk dengan isu-isu luar seolah-olah seperti ‘kera dihutan disusukan tetapi, anak dirumah mati kelaparan. Tahniah diucapkan kepada barisan dan tenaga yang menggerakkan KAKUM terutamanya kepada Presiden-presiden kolej dan Jawatankuasa Tindakan Kolej masing-masing.